LE TALENTA NIGHT: 110 ORANG BELIA ST. PATRICK MEMBAKUT TERLIBAT

Membakut : Le Talenta Night peringkat paroki Membakut telah diadakan. 6 kumpulan koir yang melibatkan 110 orang belia naungan paroki St. Patrick Mambakut telah menyertai pertandingan ini. Pertandingan ini telah diadakan pada 19 Ogos 2017 bertempat di Dewan St.Patrick. Dimeriahkan lagi dengan kehadiran umat yang datang memberikan sokongan.

Le Talenta Night merupakan satu pertandingan koir anjuran Kerasulan Belia Katolik (KBK) St. Patrick. Dimana bakat penciptaan lirik dan melodi lagu dipertandingkan. Kumpulan koir ini diadili dari segi tempo yang diadili oleh saudara Becker Ray Benedict, dari paroki St. Peter Bundu Kuala Penyu, vokal diadili oleh saudari Diana Aegidius dari paroki St.Valentine Beaufort dan persembahan diadili oleh saudari Joanne Maria Koijin dari paroki St.Yohanes Sipitang. Pengadil-pengadil jemputan ini merupakan orang-orang yang berpengalaman luas dalam pengadilan koir dan pertandingan nyanyian.

Terdapat 2 kategori dalam penciptaan lirik dan melodi lagu. Lirik lagu yang bertemakan pra paska dan bertemakan sambutan Jubli Perak Keuskupan Keningau 2018. Penciptaan lagu ini diadili sendiri oleh Rev. Fr. Ronnie Luni, paderi penguasa paroki St.Patrick Membakut.

Disamping beliau merasmikan pertandingan, beliau berpesan dan berharap agar golongan belia menggunakan bakat yang ada sebaik-baiknya. Menurut beliau, anjuran Le Talenta Night adalah satu platform yang baik untuk para belia melibatkan diri dalam pelayanan Tuhan melalui bakat seni yang mereka miliki.FB_IMG_1503538221407

Kumpulan koir yang menggabungkan empat KKD berjaya menewaskan 5 lagi kumpulan koir untuk dinobatkan sebagai Johan Le Talenta Night Paroki St.Patrick Membakut 2017. Paduan suara belia-belia gabungan KKD St.Monica Bawan, KKD St.Martha Takapan, KKD Ganah, KKD St.Edward Ambinahaton/Kabuluan ternyata telah berjaya menarik perhatian para pengadil dan juga penonton yang hadir. Kemenangan tersebut lebih manis lagi apabila salah seorang ahli kumpulan tersebut Loreta Deborah menyapu bersih dua hadiah iaitu Lirik Terbaik Tema Pra-Paska dan Tema Jubli Perak. Pemenang ini akan mewakili paroki St.Patrick ke Pesta Koir Keuskupan Keningau yang akan diadakan di Dewan Gereja St.Peter, Bundu, Kuala Penyu pada 13-15 Oktober 2017.

Kumpulan koir KBK St. Philip Sinoko pula membawa pulang dua hadiah iaitu sebagai naib johan dan juga Persembahan Terbaik. Kumpulan koir gabungan KKD St.John Of The Cross Bandau, KKD St. Thomas dan KKD Bunda Maria Limadang dan KKD Kristus Raja Tahak telah meraih tempat ketiga.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan koir belia veteran (CYC) dan juga persembahan tarian sumazau. Lebih daripada 30 cabutan tiket bertuah turut diadakan bagi memeriahkan lagi pertandingan. Program pada malam tersebut selesai pada jam 10 malam dengan doa penutup yang dipimpin oleh Rev.Fr.Ronnie Luni. –KOMSOS St.Patrick Membakut

 

Article reproduced from diocese of Keningau

Leave a Reply

error: Content is protected !!