Telupid: Pada 16 Disember 2017, Pesta Koir telah dianjurkan oleh Kerasulan Wanita Katolik Paroki St. Martin. Pesta ini merupakan salah satu Takwim tahunan bagi KWK Paroki St. Martin. Tuan Rumah Pesta Koir kali ini bertempat di Zon Jalan Tongod, St. Patrick Entilibon. Tema untuk acara ini masih dikekalkan iaitu “SUKACITA KRISMAS”.
KWK Zon Pekan sebagai Tuan Rumah Pesta Koir 2017
Acara dimulakan dengan misa pembukaan oleh Rev. Fr. Jasery G. Emmanuel selaku paderi paroki Gereja St. Martin Telupid. Dalam homilinya, Fr. Jasery mengatakan bahawa pesta koir dianjurkan pada musim Adven bertujuan agar umat dapat mempersiapkan jalan bagi Tuhan iaitu dengan cara pertobatan dan perdamaian di antara sesama keluarga kristian khasnya.
KWK Zon Jalan Nangoh
KWK Zon Jalan Ranau
Pengerusi pelaksana Pesta Koir pada tahun ini ialah Puan Julia Bahari. Dalam ucapan, beliau menyatakan rasa syukur kepada Tuhan dan terima kasih khasnya untuk Fr Jasery kerana telah membuat misa kudus khas untuk takwim tahunan KWK ini. Beliau juga berpesan bahawa kalah atau menang itu adalah perkara biasa tetapi yang paling utama ialah berjalan bersama melayani dengan kasih Allah di antara satu dengan yang lain.
KWK Zon Jalan Sandakan
KWK Zon Jalan Tongod
Sebanyak lima zon telah menyertai pertandingan ini iaitu Zon Pekan, Zon Jalan Sandakan, Zon Jalan Nangoh, Zon Jalan Ranau dan Zon Jalan Tongod. Puan Victoria Salati selaku Penyelaras Kerasulan Wanita Katolik Paroki Telupid telah menyatakan tujuan sebenar penganjuran pesta koir ini adalah untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan di kalangan ahli seterusnya di dalam pelayanan dan khasnya untuk semua umat agar dapat merasai persiapan menyambut kelahiran Kristus ke dunia.
KWK Zon Pekan
KWK Zon Pekan menerima hadiah Johan
Johan bagi pertandingan Pesta Koir tahun 2017 ini telah disandang oleh Kerasulan Wanita Katolik Zon Pekan dengan tajuk lagu “SABDA KEDATANGAN KRISTUS”, Naib Johan – KWK Zon Jalan Nangoh dan Tempat Ketiga – KWK Zon Jalan Ranau.
Article reproduced from Catholic Archdiocese of Kota Kinabalu