KENINGAU : Majlis Penyampaian Sijil kepada pelajar PPK Tahap 1 sesi 2016/2017 dan Tahap 2 sesi 2015/2016 telah berlangsung dengan jayanya. Majlis yang berlangsung pada 9 September 2017 ini diadakan di Dewan Terbuka PPK.
Majlis ini dimulakan dengan Misa Kesyukuran kepada pelajar PPK yang terlibat. Misa disempurnakan oleh Rev. Fr. Rudolf Joannes. Dihadiri oleh lebih kurang 100 orang termasuklah pelajar PPK Tahap 1 dan 2, Pelajar Baru PPK dan ahli-ahli keluarga pelajar yang yang turut memeriahkan majlis.
“Pengetahuan mengenai Tuhan dan gereja yang di kecapi itu merupakan satu perubahan baru kepada setiap kamu agar lebih dapat mendorong umat untuk mendekati dan mengimani Tuhan. Kerendahan hati dalam diri juga perlu diutamakan terutama dalam pelayanan sebagai pemimpin gereja. Sifat cinta kasih dan sabar juga harus ada sebagai pemimpin gereja dalam menghadap umat yang kurang pengetahuan mengenai Tuhan. Kerana kasih merupakan inti dalam kualiti pelayanan yang baik.” demikianlah pesan yang disampaikan dalam homili Fr. Rudolf.
Selepas Misa, Penyampaian Sijil dan jamuan kesyukuran diadakan di Dewan Terbuka PPK. Sesi penyampaian sijil kepada 36 orang pelajar Tahap I dan 15 orang pelajar Tahap II. Majlis penyampaian sijil ini disempurnakan sendiri oleh Pengarah PPK iaitu Fr. Rudolf. Serentak dengan penyampaian sijil, majlis dimeriahkan lagi dengan sambutan kedatangan 40 orang pelajar PPK tahap I bagi sesi 2017-2018 yang baru.
PERKONGSIAN PELAJAR PPK
Pengalaman selama setahun belajar dalam Tahap 2 sangat bermakna. Pelbagai cabaran yang harus ditempuhi terutama sekali kekangan masa unuk menghadiri kelas kerana ada kalangan kelas diadakan pada waktu malam. Pengorbanan dan disiplin diri sangat penting sepanjang Tahap 2 ini. Namun semuanya ini menjadi pengalaman yang sangat indah, suka dan duka bersama rakan-rakan dan guru-guru. Pendedahan untuk berkatekisis diluar adalah satu lagi pengalaman baru bagi saya agar lebih berani dan sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan pelayanan. Kerjasama dan sikap ambil berat antara sesama pelajar dan guru-guru menyuntik semangat untuk terus belajar dan bertahan sehingga selesainya pembelajaran di Tahap 2. Mengikuti Tahap 2 selapas Tahap 1 sesi 15/16 bertujuan untuk menambahkan lagi pengetahuan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk dikongsikan lebih-lebih lagi kepada para pembimbing.
Selain keinginan diri sendiri, saya juga didorong oleh rakan-rakan pembimbing dan katekis pemimpin ibadat dari KUK Panui, juga guru-guru PPK. Dorongan juga hadir daripada keluarga yang sentiasa memberi kekuatan bagi saya.
Perasaan yang sukar diungkapkan setelah berjaya menamatkan pembelajaran Tahap 2. Kegembiraan yang tidak terhingga dan sangat berbaloi. Namun belajar bukan setakat disini tetapi akan terus belajar.
Terima kasih kepada Rev. Fr Rudolf, Sr. Pat, Cikgu John, Cikgu Fred dan Cikgu Patrick atas tunjuk ajar dan bimbingan, rakan-rakan Tahap 1 dan 2 yangs entiasa membantu dan semua ahli keluarga yang sentiasa mendorong . Tuhan Memberkati. – Imelda Goniur Denis (Katekis Pembimbing dan Lektor)
Saya Lawrance Yong berumur 55 tahun daripada pelajar Katekis Tahap 1 dan melayani sebagai Pemimpin Ibadat Sabda dan Pelbagai Doa.
Sepanjang saya mengikut kelas Katekis Tahap 1, kami mempelajari sebanyak lapan subjek yang berkaitan dengan pemimpin awam atau lebih dikenali sebagai Katekis selama satu tahun.
Tujuan saya mengikut kelas ini adalah kerana saya ingin memperolehi pengetahuan yang mendalam tentang ajaran Katolik serta mahu melayani di ladang Tuhan. Saya mendapat dorongan daripada Roh Kudus, bukan itu sahaja isteri serta anak-anak saya juga mendorong saya untuk mengikuti kelas ini.
Saya amat bersyukur kerana berjaya menyelesaikan pembelajaran saya dalam Katekis Tahap 1, saya amat bersuka cita, kerana sebelum ini saya amat risau, saya akan gagal. Terima kasih kepada semua tenaga pelajar. -Lawrance Yong
Article reproduced from Diocese of Keniagau